Otak mempunyai kekuatan yang amat menakjubkan. Menurut ahli neurologi, kita menggunakan hanya satu peratus dari keseluruhan keupayaan otak yang sebenar. Malah penyelidikan mereka mendapati kita menggunakan kurang dari satu peratus dari kemampuan otak yang sebenar. Hasilnya, jiwa menjadi lemah dan pesimis, akal menjadi lembab dan kuasa fikiran menurun serta gangguan emosi.
Walau bagaimanapun keadaan ini berbeza kepada bangsa Yahudi. Mereka memiliki tahap kepintaran melebihi umat Islam. Sejak dahulu bangsa Yahudi mendepani dan menguasai pelbagai bidang seperti kejuruteraan, sains, seni, dan yang paling ketara bidang perniagaan. Hampir 70 peratus perniagaan di dunia di kuasai oleh mereka dari kosmetik, pakaian, pemakanan, senjata, perhotelan, dan sebagainya.
Persoalan besar timbul di sini ialah bagaimanakah bangsa Yahudi boleh mencapai tahap kepintaran sebegitu?. Menurut kajian sarjana barat, bangsa Yahudi telah mendidik anak-anak mereka sejak dari dalam perut sehingga ke peringkat universiti. Apa yang menarik ialah kesungguhan mereka menjaga pemakanan ke arah meningkatkan daya fikir yang tajam. Walau bagaimanapun, Islam telah lebih dahulu memperkatakan kepentingan makanan untuk fikiran manusia.
Allah SWT telah menganugerahkan kita pelbagai sumber makanan yang berkhasiat dan berzat. Ada makanan yang memberi kesan cepat terhadap kecergasan otak dan ada makanan yang lambat atau tidak memberi sebarang kesan sedikit pun. Tugas kita ialah memilih makanan yang terbaik dan memberi kesan terpantas terhadap minda. Makanan terbaik ialah makanan yang halal lagi bersih seimbang, berzat, dan berjadual.
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 172:
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Makanlah dari rezeki yang baik yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu beribadat kepada-Nya.”
Dalam ayat ini Allah SWT memerintahkan kita memakan makanan yang baik. Menurut Ibnu Kathir dalam kitab Tafsir al-Qur’an al-A’zim, makanan yang baik ialah sesuatu yang sesuai dengan selera di samping tidak mendatangkan kemudaratan kepada badan dan akal. Pakar pemakanan telah mengenalpasti bahawa bagi membantu akal sihat, kita hendaklah memakan makanan yang mengandungi karbohidrat, protein, lemak, air, mineral, dan vitamin seperti A, B, C, D, E dan K.
Makan dan minum adalah antara ibadah yang penting dalam Islam kerana ia dapat membina akhlak terpuji dan membangunkan akal insan soleh. Dalam hal ini, Allah SWT telah memberi panduan pemakanan kepada umat Islam berlandaskan konsep ‘memberi kemudahan, menjaga nyawa, jaminan kesihatan tubuh badan dan akal’. Pengambilan makanan yang tidak diberkati dan tidak berzat mendatangkan kesan buruk pada akal serta mudah terlibat dalam gejala sosial seperti amalan rasuah, pecah amanah, perjudian, penipuan, pengkhianatan, dan sebagainya.
Manakala pemakanan dari sumber rezeki yang halal, baik dan berzat adalah lebih disukai serta dirahmati oleh Allah SWT. Ini kerana hati kita menjadi bersih dan akal kita menjadi bijak serta memudahkan pekerjaan kita. Sebagai bukti kesyukuran kita kepada Allah SWT terhadap nikmat makanan, maka kita wajib memilih makanan yang disarankan dalam Islam.
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, Ahmad, Nasai’e, dan Ibn Majah bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
Mafhumnya: “Tidaklah memenuhkan anak Adam itu sebuah bejana atau bekas yang lebih jahat (hina) melainkan memenuhkan perutnya. Sekiranya ia (makan) memadai dengan suapan yang kecil yang mampu mendirikan (menguatkan) tulang sulbinya (tulang belakangnya). Sekiranya dia dikuasai oleh nafsunya, maka hendaklah diisi perutnya dengan sepertiga untuk makanan, sepertiga minuman, dan sepertiga nafasnya.”
Sekiranya umat Islam kembali kepada gaya pemakanan dan adab-adab makan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, maka zat makanan tadi menyumbang kepada ibadah, menyihatkan badan, dan memberi kepintaran kepada akal. Antara adab dan gaya pemakanan tersebut adalah sepertiga dengan makanan, sepertiga dengan air, dan sepertiga lagi untuk bernafas.
Dibimbangi jika kita tidak menjaga adab-adab ini, akan menyukarkan kita bernafas, lemah daya fikir, dan mendatangkan mudarat pada diri. Menurut pandangan pakar perubatan Arab, Harith bin Kalwah bahawa berpantang dan berjaga-jaga dalam pemakanan adalah ibu segala ubat, dan banyak makan itu ibu segala penyakit.
Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim:
Mafhumnya: “Orang mukmin makan dengan satu perut manakala orang kafir dengan tujuh perut.”
Hadith ini menjelaskan bahawa orang mukmin makan mengikut adab syarak iaitu sepinggan yang sederhana, tidak seperti orang kafir yang makan sehingga tujuh pinggan mengikut selera nafsu. Apa yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW itu adalah menuntut kita agar bersederhana dan menjauhkan diri daripada penyakit zahir dan batin seperti sifat tamak, mementingkan diri sendiri, dan sebagainya.
Marilah sama-sama kita memperhatikan pemakanan kita ke arah yang halal, berkat lagi berzat mengikut saranan Islam agar akal kita sentiasa sihat melalui langkah berikut:
- Wajib memelihara kesihatan akal dan hati supaya dapat menunaikan tugas dengan baik dan sempurna;
- Memelihara kesihatan perut dengan baik dan tidak diisi mengikut nafsu;
- Hendaklah berjaga-jaga dengan makanan yang diambil; dan
- Umat Islam dituntut bersederhana dalam semua perkara.
Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (solat), dan makanlah dan minumlah, dan jangan kamu melampau-lampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas.”
Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
No comments:
Post a Comment